08/05/2025

Mencegah Demensia: Peranan Gaya Hidup, Pemakanan, dan Intervensi Berasaskan Komuniti

Petaling Jaya, 8 Mei 2025 – Demensia merupakan isu kesihatan awam yang semakin meruncing. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih daripada 55 juta individu di seluruh dunia sedang hidup dengan keadaan ini. Di Malaysia, sebanyak 8.5 peratus warga emas berumur 60 tahun ke atas dipercayai menghidap demensia (Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi, 2018), dan jumlah ini dijangka meningkat tiga kali ganda menjelang 2050, berpotensi menjejaskan sehingga 825,000 rakyat Malaysia (Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia, ADFM).

Walaupun belum terdapat rawatan yang mampu menyembuhkan penyakit ini, penyelidikan menunjukkan bahawa sehingga 40 peratus kes demensia boleh dicegah melalui pengamalan gaya hidup sihat dan pemakanan yang seimbang (The Lancet Commission on Dementia Prevention, 2020).

Pendekatan Pencegahan Melalui Gaya Hidup dan Pemakanan

Bukti saintifik menunjukkan bahawa pemakanan yang sihat, aktiviti fizikal yang konsisten serta rangsangan kognitif secara berkala memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko demensia. Antara corak pemakanan yang paling banyak dikaji dalam konteks Penyakit Alzheimer dan demensia berkaitan (ADRD) termasuklah diet Mediterranean, Pendekatan Pemakanan untuk Menghentikan Hipertensi (DASH), Intervensi Mediterranean-DASH untuk Melambatkan Neurodegeneratif (MIND), diet ketogenik, serta diet gabungan Mediterranean-ketogenik.

Corak pemakanan berasaskan tumbuhan terutamanya diet Mediterranean dan MIND – menekankan pengambilan sayur-sayuran (terutamanya sayuran hijau), buah-buahan, kekacang, bijirin penuh, ikan, serta lemak sihat, dan pada masa yang sama mengehadkan pengambilan daging merah, makanan bergula serta makanan terproses. Diet ini menunjukkan potensi dalam mengurangkan pembentukan beta-amiloid, iaitu penanda utama patologi Alzheimer.

Diet tradisional rakyat Malaysia yang dipengaruhi oleh pelbagai budaya termasuk Melayu, Cina, India dan lain-lain adalah berasaskan nasi, mi, serta pelbagai hidangan berempah dan bersantan. Walaupun diet ini mengandungi unsur sayur-sayuran dan bijirin penuh yang seiring dengan prinsip diet MIND, ia juga turut merangkumi makanan bergoreng dan kuah yang pekat, yang seharusnya diambil secara sederhana.

Bagi menyesuaikan diet MIND dalam konteks tempatan, pakar pemakanan menyarankan penggantian beri import dengan buah-buahan tempatan yang kaya dengan flavonoid seperti jambu batu merah jambu, roselle, buah naga merah, kismis, dan delima. Buah-buahan tempatan ini menawarkan manfaat kognitif yang sebanding serta lebih mudah diperoleh dan lebih ekonomik.

Malaysia juga kaya dengan sumber ikan berlemak omega-3 seperti sardin, ikan kembung, dan senangin. Namun, kaedah penyediaan seperti menggoreng adalah tidak digalakkan kerana boleh mengurangkan kandungan asid lemak yang bermanfaat. Produk berasaskan soya dan kekacang turut disarankan kerana sifat anti-radang dan antioksidan yang menyokong kesihatan otak.

Selain aspek pemakanan, penyelidikan menunjukkan faktor gaya hidup turut memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko demensia. Aktiviti fizikal secara konsisten seperti berjalan pantas, berenang atau berbasikal seharusnya diamalkan sekurang-kurangnya 150 minit seminggu, bergantung kepada keupayaan individu. Pengawalan tekanan darah tinggi dan diabetes amat penting memandangkan kedua-dua keadaan ini menyumbang kepada kemerosotan fungsi kognitif.

Mengelakkan tabiat merokok dan menghadkan pengambilan alkohol juga penting kerana ia meningkatkan risiko kerosakan vaskular dan neurodegenerasi. Di samping itu, aktiviti yang merangsang minda seperti membaca, menyelesaikan teka-teki atau mempelajari kemahiran baharu membantu mengekalkan fungsi kognitif, manakala hubungan sosial yang erat boleh mengurangkan risiko kemerosotan mental.

“Penglibatan dalam aktiviti rangsangan mental serta mengekalkan hubungan sosial yang sihat adalah memainkan peranan penting dalam memelihara fungsi otak,” ujar Dr. Nordiana Nordin, Pakar Perunding Geriatrik dan Perubatan di Sunway Medical Centre Damansara (SMCD).

Memperkenalkan Terapi Rangsangan Kognitif (CST)

Terapi Rangsangan Kognitif (Cognitive Stimulation Therapy, CST) merupakan intervensi bukan farmakologi yang telah terbukti berkesan dalam membantu individu yang mengalami demensia tahap ringan hingga sederhana. Kajian menunjukkan bahawa CST mampu memperbaiki komunikasi, interaksi sosial, daya ingatan, dan kualiti hidup secara menyeluruh. Ia turut berupaya mengurangkan gejala tingkah laku dan psikologi seperti kegelisahan, perubahan emosi, halusinasi, kurang motivasi, dan gangguan tidur.

Berbeza dengan rawatan farmakologi yang menyasarkan neurotransmitter tertentu dan mungkin menyebabkan kesan sampingan seperti ketidakselesaan gastrousus atau perubahan mood, CST melibatkan aktiviti berstruktur secara berkumpulan, rangsangan deria serta sesi perbincangan interaktif untuk meningkatkan keupayaan kognitif dan kesejahteraan sosial.

Gabungan CST bersama rawatan farmakologi yang bersesuaian merupakan pendekatan paling berkesan. Menyedari kekurangan akses kepada program CST berstruktur di Malaysia, SMCD telah mengambil langkah proaktif dengan melancarkan program CST selama 14 sesi yang dirangka khusus mengikut keperluan tempatan.

“Penyedia penjagaan kesihatan harus meningkatkan kesedaran melalui sesi ceramah awam dan rundingan secara individu. Selain itu, platform telekesihatan boleh dimanfaatkan untuk menyediakan akses CST kepada individu yang menghadapi kekangan mobiliti atau lokasi,” tambah Dr. Nordiana.

Walaupun penyelidikan lanjut masih diperlukan bagi menilai kesan jangka panjang, beberapa kajian menunjukkan bahawa penglibatan berterusan dalam CST mampu mengekalkan peningkatan fungsi kognitif dan kualiti hidup.

Sertai Usaha Memelihara Kesihatan Otak

Pusat Perubatan Sunway Damansara menyeru individu dan keluarga agar mengambil langkah proaktif dalam melindungi kesihatan otak. Melalui saringan awal, intervensi berasaskan bukti seperti Terapi Rangsangan Kognitif (CST), serta amalan gaya hidup yang sihat, kita mampu bersama-sama mengurangkan risiko demensia dan meningkatkan kualiti hidup. Untuk maklumat lanjut mengenai Terapi Rangsangan Kognitif (CST), hubungi 03-8966 9191 (Samb. 78111).

Kembali