11/07/2025

Epidemik yang Tidak Kelihatan: Mengapa Penyakit Buah Pinggang Kronik Sering Terlepas Pandang

 

Walaupun merupakan antara penyakit tidak berjangkit yang paling lazim di Malaysia, Penyakit Buah Pinggang Kronik (CKD) masih sering terlepas daripada perhatian umum. Dikenali sebagai penyakit “senyap”, CKD berkembang secara beransur-ansur dan hanya dikesan apabila telah mencapai tahap lanjut yang memerlukan dialisis sepanjang hayat atau pemindahan buah pinggang.

 

Petaling Jaya, 11 Julai 2025 – Statistik pada tahun 2018 menunjukkan kadar kelaziman CKD di Malaysia meningkat kepada 15.48%, berbanding 9.07% pada tahun 2011, menandakan satu lonjakan yang membimbangkan. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, lebih 50,000 rakyat Malaysia kini menjalani dialisis, dan angka ini dijangka melebihi 100,000 menjelang tahun 2040 sekiranya intervensi awal tidak diambil. Namun begitu, ramai masih tidak menyedari bahawa mereka berisiko. Hal ini kerana, sifat CKD yang berkembang secara senyap tanpa gejala nyata, serta tahap kesedaran awam yang rendah sering kali menyebabkan diagnosis hanya dibuat apabila kerosakan buah pinggang telah menjadi serius dan tidak dapat dipulihkan.

Sebagai langkah proaktif, Pusat Perubatan Sunway Damansara (SMCD) tampil memacu usaha merapatkan jurang kesedaran ini dengan mempromosikan kepentingan pengesanan awal dan pendidikan kesihatan sebagai langkah penting dalam menangani peningkatan kes CKD di negara ini.

Memahami CKD dan Perkembangannya yang Senyap

CKD adalah satu keadaan progresif yang mana buah pinggang secara perlahan-lahan kehilangan keupayaan untuk menapis bahan buangan dan lebihan cecair daripada darah. Pada peringkat awal, penyakit ini selalunya tidak menunjukkan sebarang gejala jelas. Apabila pesakit mula mengalami simptom seperti keletihan, bengkak badan atau perubahan dalam corak pembuangan air kecil mula dirasai, kerosakan buah pinggang yang serius dan kekal biasanya telah pun berlaku.

“CKD adalah penyakit yang berbahaya kerana ia wujud secara senyap dan sukar dikesan,” jelas Dr Chong Yip Boon, Pakar Perunding Nefrologi dan Perubatan di SMCD.  “Tanpa pengesanan  awal, CKD boleh mengakibatkan komplikasi serius yang mengancam nyawa seperti penyakit kardiovaskular, anemia bergejala, penyakit tulang metabolik, lebihan cecair dalam badan dan akhirnya kegagalan buah pinggang yang tidak dapat dipulihkan serta kematian. Permulaannya yang senyap dan progresif menjadikan pengesanan awal sangat mencabar dan kritikal. Kekurangan kesedaran awam dan ketiadaan program saringan kesihatan berkala menyukarkan lagi diagnosis awal.”

Mengapa Rakyat Malaysia Kerap Terlepas Pandang Gejala Awal

Di Malaysia, antara punca utama CKD hanya dikesan pada peringkat lanjut adalah kekurangan kesedaran awam mengenai kesihatan buah pinggang serta amalan pemeriksaan kesihatan yang rendah. Kebanyakan individu tidak mengalami sebarang ketidakselesaan atau gejala awal yang jelas. Malah, gejala seperti keletihan, perubahan air kencing, atau bengkak pada anggota badan sering disalah anggap sebagai masalah kesihatan biasa.

Pemikiran umum bahawa “berasa sihat bermaksud benar-benar sihat” terus menyebabkan tindakan pencegahan tertangguh, khususnya dalam kalangan individu berisiko tinggi. “Masalahnya bukan terletak pada ketiadaan ujian fungsi buah pinggang. Hakikatnya, ujian tersebut tersedia dalam kebanyakan pakej saringan kesihatan,” jelas Dr Chong. “Masalah utama adalah orang ramai tidak menjalani pemeriksaan sehingga sudah terlambat.”

Menurut Dr Chong, saringan kesihatan amat penting terutamanya bagi golongan yang berisiko tinggi termasuk mereka yang menghidap diabetes, hipertensi, penyakit jantung, obesiti morbid, batu karang, gout, atau mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit buah pinggang. Golongan warga emas, pengguna tegar ubat tahan sakit atau ubat tanpa preskripsi, dan mereka yang mengamalkan rawatan sendiri turut tergolong dalam kumpulan ini.

“Dalam kalangan golongan pesakit ini, antara kesilapan lazim termasuk tidak menghadiri janji temu secara berkala, mengabaikan ujian darah atau air kencing, melakukan rawatan sendiri, dan tidak memahami keadaan kesihatan mereka,” tambah beliau.

Dalam beberapa kes, tanda-tanda awal boleh dikesan lebih awal daripada yang disangka. Contohnya, air kencing  berbuih atau berbusa secara luar biasa mungkin menandakan kehilangan protein – salah satu petunjuk awal kerosakan buah pinggang. Sekiranya ragu-ragu, ujian air kencing mudah bersama doktor perubatan am atau pakar boleh membantu menentukan sama ada simptom tersebut tidak berbahaya atau berkaitan dengan penyakit buah pinggang kronik (CKD).

Dr. Chong turut menekankan beberapa langkah gaya hidup praktikal yang boleh diamalkan untuk mengurangkan risiko penyakit buah pinggang:

  • Minum sekurang-kurangnya 2 liter air setiap hari (jika tiada masalah jantung sedia ada).
  • Amalkan pemakanan sihat dan seimbang.
  • Elakkan penggunaan berlebihan ubat tahan sakit, suplemen tanpa preskripsi, dan rawatan sendiri.
  • Lakukan senaman secara berkala dan amalkan penurunan berat badan secara berperingkat.
  • Elakkan atau kurangkan tabiat merokok dan pengambilan alkohol.
  • Jalani saringan kesihatan menyeluruh secara berkala untuk memahami tahap kesihatan diri.
  • Kawal penyakit kronik sedia ada seperti diabetes, hipertensi, kolesterol tinggi, penyakit jantung dan sebagainya.

Membentuk Kesedaran Baharu Mengenai Kesihatan Buah Pinggang

Menyedari bahawa pengesanan awal adalah kunci pengurusan CKD, pakar perubatan di Pusat Perubatan Sunway Damansara (SMCD) memberi tumpuan kepada peningkatan akses kepada saringan berasaskan risiko – terutama dalam kalangan mereka yang mempunyai keadaan kesihatan berisiko seperti diabetes, hipertensi dan obesiti.

Daripada menunggu gejala muncul, SMCD mempergiatkan usaha untuk mengenal pasti individu berisiko tinggi lebih awal melalui pendidikan, pengawasan klinikal yang lebih teliti, dan pendekatan saringan strategik di klinik. Di luar aspek diagnostik, hospital ini turut menyarankan agar salah faham mengenai ujian buah pinggang dihapuskan dan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia, khususnya golongan berisiko, untuk mengambil langkah proaktif menjaga kesihatan buah pinggang mereka.

“Rakyat Malaysia perlu menganggap kesihatan buah pinggang sebagai sebahagian penting daripada kesejahteraan menyeluruh, bukan hanya apabila gejala muncul,” kata Dr. Chong. “Saringan berkala terutamanya dalam kalangan individu berisiko, boleh membawa kepada pengesanan awal, memperlahankan perkembangan penyakit, meningkatkan kualiti hidup dan mengurangkan kos rawatan jangka.”

Peduli Kesihatan Buah Pinggang Dengan Serius – Sebelum Terlambat

SMCD berharap untuk mengubah persepsi masyarakat dan menempatkan kesihatan buah pinggang sebagai sebahagian daripada penjagaan kesihatan rutin. Tindakan lambat hanya akan membawa kepada akibat yang tidak dapat dipulihkan, manakala pengesanan awal mampu meningkatkan kualiti hidup dan memperlahankan perkembangan penyakit.

Pengesanan awal membawa perubahan besar. SMCD menggalakkan semua rakyat Malaysia agar komited dengan janji temu perubatan berkala dan menjalani saringan kesihatan seperti yang disarankan oleh doktor.

Untuk membuat janji temu saringan atau mengetahui lebih lanjut mengenai pengesanan CKD, sila layari laman web Pusat Perubatan Sunway Damansara.

Kembali