16/04/2025

Kemajuan Prosedur Sedut Lemak – Titik Persilangan Antara Teknologi, Keselamatan dan Keyakinan Pesakit

Petaling Jaya, 16 April 2025 – Di peringkat global, prosedur sedut lemak kini telah melangkaui fungsinya sebagai rawatan kosmetik semata-mata, dan berkembang menjadi satu kaedah kontur badan yang berasaskan teknologi tinggi dan ketepatan klinikal. Di Malaysia, kemajuan seperti penggunaan teknologi perubatan terkini sedang mentransformasi bidang ini dengan mempertingkatkan keselamatan, keberkesanan, dan mempercepatkan tempoh pemulihan pesakit. Namun begitu, perkembangan positif ini turut disertai oleh peningkatan prosedur tidak sah yang dilakukan oleh individu tidak bertauliah di premis tidak berlesen, tanpa pematuhan kepada protokol keselamatan perubatan. Fenomena ini mendedahkan pesakit kepada risiko komplikasi serius, sekali gus menekankan keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran awam dan menggalakkan pemilihan rawatan perubatan yang sah dan profesional.

Peningkatan Prosedur Tidak Berlesen: Ancaman Yang Meningkat

Permintaan yang semakin meningkat terhadap prosedur sedut lemak turut mendorong peningkatan dalam kalangan pengamal tidak berlesen yang menawarkan rawatan pada tahap kualiti yang rendah, sering kali tanpa kelayakan perubatan yang mencukupi atau pematuhan kepada garis panduan keselamatan. Trend ini telah mengakibatkan beberapa kes komplikasi yang serius. Di Malaysia, prosedur tidak bertauliah ini lazimnya dijalankan di salun kecantikan atau klinik tidak berdaftar, tanpa sebarang pemantauan perubatan yang diiktiraf.

Mengulas mengenai isu ini, Dr. Jagjeet Singh, Pakar Bedah Plastik bertauliah di Pusat Perubatan Sunway Damansara, menyatakan bahawa peningkatan kes prosedur sedut lemak yang tidak berlesen secara langsung menyumbang kepada peningkatan kes komplikasi. Walaupun statistik yang tepat sukar diperoleh disebabkan pelaksanaan prosedur ini secara rahsia, pakar perubatan telah mengenal pasti peningkatan kesan sampingan seperti jangkitan, kecacatan, dan kematian.

“Risiko daripada prosedur sedut lemak di premis tidak berlesen adalah amat serius,” jelas Dr. Jagjeet. “Pesakit sering mengalami komplikasi seperti embolisme lemak, pendarahan melampau, dan jangkitan. Dalam kes tertentu, berlaku kerosakan saraf atau organ disebabkan kekurangan kepakaran, terutamanya apabila prosedur dilakukan di kawasan sensitif seperti abdomen atau paha. Berdasarkan pengalaman saya, semakin ramai pesakit hadir untuk menjalani pembedahan pembetulan selepas prosedur gagal yang dilakukan di salun kecantikan atau klinik luar negara yang tidak diiktiraf. Kes berprofil tinggi seperti Coco Siew telah membuka mata masyarakat, tetapi banyak kes lain yang tidak dilaporkan. Malangnya, ramai pesakit hanya menyedari akibatnya apabila sudah terlambat.”

Persatuan Bedah Plastik dan Rekonstruktif Malaysia (MSPRS) turut mengeluarkan amaran mengenai risiko prosedur estetik yang dilakukan oleh individu tidak bertauliah. Risiko ini termasuk jangkitan, reaksi terhadap bius, dan juga kematian. Sebaliknya, prosedur yang dijalankan di fasiliti bertauliah oleh pakar perubatan bertauliah menunjukkan kadar komplikasi yang jauh lebih rendah. Menurut statistik daripada American Association for Accreditation of Ambulatory Surgery Facilities, kadar komplikasi bagi prosedur sedut lemak di pusat berlesen adalah antara 0.4 peratus hingga 0.63 peratus, manakala kadar kematian adalah antara 0.002 peratus hingga 0.02 peratus (Valentine et al., 2023).

“Angka ini jelas menunjukkan perbezaan ketara antara hasil prosedur berlesen dan tidak berlesen, dan menekankan betapa pentingnya memilih pengamal perubatan bertauliah demi keselamatan pesakit serta hasil yang optimum,” tambah Dr. Jagjeet.

Teknologi Sedut Lemak Terkini: Kemajuan Melalui Teknologi VASER di Pusat Perubatan Sunway Damansara

Peningkatan prosedur sedut lemak tidak berlesen khususnya yang melibatkan teknologi lama atau tidak selamat turut menyumbang kepada pelbagai kesan buruk terhadap pesakit. Prosedur sebegini lazimnya menggunakan teknik suction-assisted liposuction (SAL) secara tradisional iaitu prosedur penyedutan lemak menggunakan alat sedutan, yang jika dilakukan tanpa latihan atau peralatan yang betul, boleh menyebabkan trauma tisu yang ketara, penyingkiran lemak yang tidak sekata, kehilangan darah yang banyak, dan risiko terbakar atau nekrosis kulit akibat penggunaan peralatan haba yang tidak betul.

Namun, kemajuan dalam bidang teknologi telah menjadikan prosedur ini lebih selamat dan efisien. Teknologi VASER, yang diperkenalkan di Pusat Perubatan Sunway Damansara, merupakan inovasi terbaharu dalam bidang sedut lemak. Sebagai hospital pertama di Malaysia yang menawarkan teknologi ini, pusat perubatan ini telah menetapkan penanda aras baharu dalam ketepatan, keselamatan dan kecekapan rawatan kontur tubuh.

VASER (Vibration Amplification of Sound Energy at Resonance) menggunakan tenaga ultrasound untuk penyingkiran lemak secara invasif yang minimum. Teknologi ini menyasarkan sel lemak yang terpilih tanpa menjejaskan tisu sekeliling, sekali gus mengurangkan trauma. Di Pusat Perubatan Sunway Damansara, pakar bedah plastik bertauliah menggunakan VASER untuk mencairkan lemak terlebih dahulu sebelum disedut keluar, memberikan hasil yang lebih tepat dengan tahap kesakitan dan masa pemulihan yang minimum. Gelombang ultrasound juga merangsang penghasilan kolagen, yang membantu dalam penegangan kulit. Kesan ini juga merupakan satu kelebihan bagi pesakit yang mempunyai kulit yang longgar ringan sekaligus mungkin tidak lagi memerlukan rawatan penegangan kulit tambahan.

“VASER merupakan sistem sedut lemak berteknologi tinggi yang menawarkan pelbagai kelebihan dari segi keselamatan dan estetik, termasuk ketepatan penyingkiran lemak, pengurangan pendarahan dan lebam, penegangan kulit yang lebih baik, serta hasil yang lebih sekata dengan risiko deformasi kontur yang rendah,” jelas Dr. Jagjeet. “Berdasarkan pengalaman saya sebagai pakar dalam prosedur ini, VASER menjadi pilihan utama kerana ia menggabungkan keselamatan dan hasil kontur tubuh yang unggul. Sistem ini amat berkesan untuk pesakit yang menginginkan hasil semula jadi, definisi tinggi, dengan tempoh pemulihan yang singkat.”

Selain manfaat estetik, penyingkiran lemak berlebihan di kawasan tertentu turut memberikan faedah kefungsian, termasuk meningkatkan mobiliti dan mengurangkan beban pada sendi. Namun, untuk memastikan keselamatan pesakit, prosedur berteknologi tinggi seperti ini mesti dijalankan oleh pakar bertauliah yang terlatih dalam penggunaan teknologi terkini, mengoptimumkan keselamatan pesakit dan keberkesanan rawatan.

Masa Hadapan Prosedur Sedut Lemak: Teknologi yang Lebih Selamat dan Efisien

Masa hadapan prosedur sedut lemak di Malaysia dilihat sangat positif, dengan teknologi yang terus maju. Pengenalan teknologi VASER di Pusat Perubatan Sunway Damansara hanyalah permulaan. Seiring dengan perkembangan teknologi, prosedur akan menjadi lebih peribadi dan efisien, membolehkan lebih ramai individu mencapai matlamat tubuh mereka dengan risiko yang minimum. Selain itu, dengan semakin banyak kajian saintifik yang mengaitkan lemak berlebihan dengan pelbagai risiko kesihatan seperti gangguan metabolik dan tekanan pada sendi. Justeru itu, prosedur sedut lemak moden berpotensi memainkan peranan dalam menyokong kesejahteraan kesihatan keseluruhan.

Mengulas mengenai prosedur sedut lemak di Malaysia, Dr. Jagjeet berpendapat, “Kemajuan dalam teknologi sedut lemak bukan sekadar menyingkirkan lemak tetapi ia adalah tentang membentuk tubuh yang seimbang dan harmoni, sambil memastikan keselamatan dan tempoh pemulihan yang minimum. Sebagai pakar bedah plastik, saya melihat sendiri bagaimana inovasi telah memperhalusi teknik penyingkiran lemak menjadikannya lebih selamat, tepat, dan menghasilkan hasil estetik yang lebih baik. Saya percaya, kita akan menyaksikan lebih banyak kaedah inovatif muncul dalam tahun-tahun akan datang.”

Prosedur sedut lemak boleh dijalankan dengan selamat dan berkesan apabila dilaksanakan oleh pakar perubatan yang diiktiraf. Namun, peningkatan prosedur tidak terkawal menuntut masyarakat untuk membuat keputusan yang bijak dan mendapatkan rawatan daripada penyedia penjagaan kesihatan yang sah.

Untuk maklumat lanjut mengenai prosedur perubatan yang selamat dan terkawal serta cara mengenal pasti rawatan oleh pakar yang bertauliah, sila layari laman sesawang rasmi Pusat Perubatan Sunway Damansara.

Kembali