28/03/2025
KANSER KOLOREKTAL: PANDANGAN PAKAR MENGENAI SARINGAN, RAWATAN DAN STRATEGI PENCEGAHAN

KUALA LUMPUR, March 28 (Bernama) -- Colorectal cancer remains a major global health concern, but breakthroughs in early screening, advanced treatment and cutting-edge surgical techniques offer renewed hope for patients.
Pakar menegaskan bahawa pengesanan awal serta perkembangan teknologi perubatan telah merubah pendekatan rawatan serta mengubah landskap dalam menangani penyakit berbahaya ini.
Dalam satu temu bual eksklusif, Pakar Bedah Am dan Kolorektal dari Pusat Perubatan Sunway Damansara (SMCD), Dr Siti Mayuha Rusli menekankan kepentingan penentuan tahap kanser dan pelan rawatan yang diperibadikan dalam meningkatkan kadar pemulihan pesakit.
“Langkah pertama adalah mengenal pasti maklumat demografi asas pesakit seperti umur dan komorbiditi yang sedia ada. Kemudian, hasil skop akan diteliti untuk menentukan lokasi sebenar tumor, sama ada ia melibatkan satu atau lebih kawasan, serta sejauh mana penyebarannya.
“Setelah lokasi tumor dikenalpasti, imbasan tomografi berkomputer (CT scan) ke atas toraks, abdomen dan pelvis akan dijalankan. Dalam sesetengah kes, pengimejan resonans magnetik (MRI) bagi rektum turut diperlukan bagi menilai penyebaran tumor ke organ berdekatan atau organ jauh seperti hati dan paru-paru, yang juga merupakan organ paling kerap terjejas dalam kanser kolorektal tahap lanjut.
Tahap kanser kolorektal memainkan peranan penting dalam menentukan pelan rawatan. Kanser tahap awal (Tahap 1 dan 2) kekal dalam kolon atau rektum, manakala Tahap 3 melibatkan penyebaran ke nodus limfa berdekatan.
Pada Tahap 4, penyakit telah merebak ke organ jauh dan mengurangkan kadar kelangsungan hidup seterusnya menjurus kepada rawatan paliatif, walaupun masih terdapat kira-kira 20 peratus peluang untuk sembuh.
Menurut data MyScan 2018, kadar kelangsungan hidup selama lima tahun bagi pesakit kanser kolorektal di Malaysia adalah sekitar 51 peratus. Namun begitu, kadar ini sangat bergantung kepada tahap kanser sewaktu diagnosis:
“Kanser kolorektal Tahap 1 mencatatkan kadar kelangsungan hidup sebanyak 75 hingga 80 peratus, diikuti 70 hingga 75 peratus bagi Tahap 2. Tahap 3 mencatatkan 50 hingga 60 peratus, dan kurang daripada 20 peratus bagi Tahap 4,” jelas Dr Siti Mayuha.
Pembedahan kekal sebagai rawatan utama bagi kanser kolorektal, dengan jenis prosedur bergantung kepada lokasi tumor. Tumor di bahagian kanan memerlukan pembuangan kolon kanan, manakala tumor di sebelah memerlukan pembuangan kolon kiri.
Dalam kes kanser rektum yang telah merebak secara tempatan, pembuangan keseluruhan rektum dan organ berhampiran seperti pundi kencing atau rahim mungkin diperlukan dan ini berpotensi membawa kepada pembentukan stoma kekal.
“Pembentukan stoma yang melibatkan pembukaan pada dinding abdomen bagi membolehkan penyingkiran bahan buangan, adalah sebahagian daripada rawatan kanser kolorektal. Keadaan ini memang sukar untuk dihadapi oleh pesakit, namun sangat diperlukan demi menyelamatkan nyawa,” jelas Dr Siti Mayuha.
Beliau turut menekankan penggunaan kaedah invasif minimum seperti pembedahan lubang kecil dan pembedahan robotik yang mempercepatkan pemulihan pesakit serta mengurangkan komplikasi.
“Dahulu, pesakit memerlukan masa berminggu untuk pulih akibat parut besar. Kini, dengan prosedur invasif minimum, luka pembedahan jauh lebih kecil, adakalanya hanya lima milimeter dan mengurangkan kesakitan, mempercepatkan pemulihan dan kurang komplikasi. Pesakit boleh kembali berjalan seawal keesokan harinya serta kembali bekerja lebih awal berbanding pembedahan konvensional,” katanya.
Namun begitu, meskipun dengan kecanggihan teknologi sekarang, komplikasi selepas pembedahan masih menjadi kebimbangan, termasuk pendarahan, jangkitan, dan kebocoran pada sambungan kolon.
“Komplikasi paling ditakuti adalah kebocoran pada sambungan usus. Kes ringan boleh dirawat dengan antibiotik, namun kes yang serius mungkin memerlukan pembedahan semula,” tambah beliau. Komplikasi lain termasuk jangkitan, radang paru-paru dan trombosis vena dalam (DVT).
Sementara itu, Pakar Gastroenterologi, Hepatologi dan Perubatan SMCD, Dr Muhammad Ilham Abdul Hafidz, menegaskan bahawa pencegahan melalui saringan dan perubahan gaya hidup mampu mengurangkan risiko kanser kolorektal dengan ketara.
“Dua kaedah saringan paling lazim adalah ujian najis (FOBT) dan kolonoskopi. FOBT boleh dilakukan di rumah dan berfungsi untuk mengesan kehadiran darah dalam najis. Jika keputusan positif, pemeriksaan lanjut diperlukan. Kolonoskopi pula menggunakan kamera untuk mengenal pasti polip atau kelainan yang boleh berubah menjadi kanser,” jelas beliau.
Beliau menambah, di Malaysia, Kementerian Kesihatan menyarankan saringan bermula pada usia 50 tahun. Namun, negara seperti Amerika Syarikat dan Australia telah menurunkan usia saringan kepada 45 tahun susulan peningkatan kes awal usia.
Mereka yang mempunyai sejarah keluarga kanser kolorektal juga disarankan memulakan saringan lebih awal.
Dr Muhammad Ilham menekankan antara gejala amaran termasuk perubahan tabiat buang air besar yang berpanjangan, pendarahan rektum, penurunan berat badan tanpa sebab, kembung perut dan sakit abdomen. Beliau menyeru masyarakat agar tidak melengahkan pemeriksaan kesihatan jika mengalami sebarang gejala tersebut.
“Faktor gaya hidup seperti obesiti, merokok, pengambilan alkohol berlebihan, dan diet tinggi makanan diproses serta daging merah turut meningkatkan risiko kanser kolorektal. Menjaga berat badan, pemakanan sihat dan mengehadkan pengambilan alkohol dapat membantu mengurangkan risiko dengan ketara,” katanya.
Beliau juga menekankan kepentingan meningkatkan kesedaran, terutama dalam kalangan individu yang mempunyai sejarah keluarga, agar menjalani saringan secara berkala kerana pengesanan awal mampu menyelamatkan nyawa.
Dengan kemajuan teknologi perubatan, kedua-dua pakar yakin bahawa kecerdasan buatan (AI) bakal memainkan peranan besar dalam masa hadapan rawatan kanser kolorektal. Kaedah yang dikuasakan AI mampu meningkatkan ketepatan saringan, memperibadikan pelan rawatan dan memberikan hasil rawatan yang lebih baik.
Mereka menyimpulkan bahawa kanser kolorektal boleh dicegah melalui saringan awal, dan menyeru orang ramai untuk mengamalkan gaya hidup sihat, menjalani saringan berkala dan mendapatkan nasihat perubatan sekiranya mempunyai gejala.
Dengan pengesanan awal dan rawatan tepat pada masanya, kanser kolorektal boleh dikawal dengan berkesan, sekali gus meningkatkan kadar kelangsungan hidup dan kualiti hidup pesakit.
Untuk maklumat lanjut dan pertanyaan, sila hubungi Pusat Perubatan Sunway Damansara di 03-8966 9191 atau emel ke [email protected]. Layari: www.sunwaymedicaldamansara.com.my dan ikuti Facebook: Sunway Medical Centre Damansara.
Source: Bernama
Kembali
