23/11/2026

When Hand Pain And Numbness Demand Attention

Kesakitan, rasa mencucuk dan kebas pada tangan merupakan aduan yang lazim, namun sering dianggap sebagai ketidakselesaan sementara akibat penggunaan komputer yang berpanjangan, pergerakan berulang atau aktiviti harian.

Walau bagaimanapun, gejala yang berterusan mungkin menunjukkan masalah kesihatan yang memerlukan perhatian perubatan.

Menurut Pakar Perunding Bedah Ortopedik dan Trauma di Sunway Medical Centre Damansara, Dr Parminder Singh Gill, salah satu punca yang paling lazim ialah sindrom terowong karpal (Carpal Tunnel Syndrome), yang berlaku apabila saraf median (Median Nerve) mengalami tekanan ketika melalui laluan sempit di pergelangan tangan yang dikenali sebagai terowong karpal (Carpal Tunnel).

Dr Parminder: Jangan abaikan rasa mencucuk, kebas atau sensasi seperti renjatan elektrik yang kerap berlaku, terutamanya jika ia berlaku beberapa kali seminggu.

“Pesakit biasanya mengadu mengalami kebas dan rasa mencucuk pada hujung jari, terutamanya ibu jari, jari telunjuk, jari tengah dan sebahagian jari manis.”

“Sesetengah pesakit mengalami kesakitan pada pergelangan tangan sehingga terjaga pada waktu malam, lalu cuba melegakan ketidakselesaan tersebut dengan menggoncang atau mengibas tangan,” jelas beliau.

Terowong karpal mengandungi sembilan tendon dan saraf median. Ia merupakan lokasi paling lazim berlakunya tekanan saraf pada anggota atas, diikuti oleh terowong kubital (Cubital Tunnel) di bahagian siku, di mana saraf ulnar (Ulnar Nerve) boleh mengalami tekanan.

Masalah tangan dan pergelangan tangan lain yang sering ditemui di klinik termasuk jari picu (Trigger Finger), yang menyebabkan jari tersangkut atau terkunci ketika digerakkan; tenosinovitis De Quervain (De Quervain’s Tenosynovitis), yang menyebabkan kesakitan pada bahagian pergelangan tangan berhampiran ibu jari; serta sista ganglion (Ganglion Cysts), yang muncul sebagai benjolan di sekitar sendi atau tendon.

Pergerakan tangan yang berulang dan aktiviti berkaitan pekerjaan boleh menyumbang kepada masalah tangan dan pergelangan tangan. Menurut Dr Parminder, individu yang kerap menaip, menggunakan tetikus komputer atau mengendalikan peralatan bergetar seperti gerudi mungkin lebih terdedah kepada masalah ini.

Faktor lain yang menyumbang termasuk patah tulang pergelangan tangan, kehelan sendi serta penyakit keradangan seperti artritis reumatoid (Rheumatoid Arthritis) dan gout.

“Secara umumnya, wanita lebih kerap mengalami sindrom terowong karpal.”

“Wanita hamil juga lebih mudah mengalami keadaan ini kerana perubahan hormon boleh menyebabkan pembengkakan pada tangan,” jelas beliau.

Peningkatan usia dan masalah kesihatan sedia ada, terutamanya diabetes dan kegagalan buah pinggang, juga boleh meningkatkan risiko.

Gejala awal tekanan saraf tidak seharusnya diabaikan, terutamanya apabila ia berlaku secara berulang atau mengganggu tidur dan aktiviti harian.

“Rasa mencucuk, kebas dan sensasi seperti renjatan elektrik merupakan tanda amaran awal. Kesakitan di sekitar tapak tangan dan pergelangan tangan yang menyebabkan anda terjaga pada waktu malam juga perlu diperiksa,” nasihat Dr Parminder.

Gejala yang lebih serius termasuk kekuatan genggaman yang semakin lemah, kesukaran melakukan pergerakan halus serta penyusutan otot di pangkal ibu jari.

Pada peringkat ini, melegakan tekanan pada saraf sahaja mungkin tidak dapat memulihkan fungsi tangan sepenuhnya.

Prosedur tambahan seperti pemindahan tendon (Tendon Transfer) kadangkala mungkin diperlukan.

Kebanyakan masalah tangan dan pergelangan tangan boleh didiagnosis melalui pemeriksaan klinikal.

Bagi sindrom terowong karpal, pemeriksaan ringkas seperti Durkan’s Test, Tinel’s Test dan Phalen’s Test boleh dilakukan dalam masa beberapa minit.

Pakar juga boleh menilai kekuatan ibu jari dan deria rasa pada tangan, serta memeriksa tanda-tanda penyusutan otot.

“Kadangkala, kita perlu mempertimbangkan sindrom tekanan saraf berganda (Double Crush Syndrome), iaitu keadaan apabila tekanan saraf berlaku di dua lokasi berbeza, seperti di bahagian leher dan pergelangan tangan,” jelas Dr Parminder.

Kajian pengaliran saraf (Nerve Conduction Studies) boleh membantu menilai fungsi saraf, manakala pemeriksaan ultrabunyi atau pengimejan resonans magnetik (MRI) kadangkala diperlukan untuk mengenal pasti lesi yang mendasari atau mengesahkan diagnosis.

Bagi pesakit yang mengalami gejala awal, rawatan konservatif biasanya dipertimbangkan terlebih dahulu.

Ini mungkin termasuk penggunaan penyokong pergelangan tangan (Wrist Splint), fisioterapi, senaman gelongsoran saraf (Nerve-gliding Exercises), ubat tahan sakit dan suplemen vitamin B sebagai sebahagian daripada rawatan konservatif.

“Jika gejala bertambah baik, pembedahan mungkin tidak diperlukan. Walau bagaimanapun, jika gejala berterusan, rawatan pembedahan mungkin disarankan,” tambah beliau.

Apabila intervensi pembedahan diperlukan, prosedur pelepasan terowong karpal (Carpal Tunnel Release) boleh dilakukan melalui kaedah pembedahan terbuka atau endoskopik, bergantung pada keadaan pesakit dan penilaian pakar.

Langkah pencegahan termasuk memastikan penggunaan papan kekunci dan tetikus secara ergonomik, mengelakkan pelanjutan pergelangan tangan yang berlebihan serta mengambil rehat secara berkala ketika bekerja di meja untuk tempoh yang panjang.

“Cuba elakkan daripada menekan kekunci papan kekunci terlalu kuat. Gunakan papan kekunci dan tetikus ergonomik jika bersesuaian, serta elakkan berada dalam posisi yang sama terlalu lama,” nasihat pakar tersebut.

Individu yang menggunakan peralatan bergetar mungkin mendapat manfaat daripada penggunaan sarung tangan berlapik, manakala senaman tangan yang sesuai dan dilakukan secara konsisten boleh membantu melegakan gejala.

Apa yang paling penting ialah intervensi awal.

“Jangan abaikan rasa mencucuk, kebas atau sensasi seperti renjatan elektrik yang kerap berlaku, terutamanya jika ia berlaku beberapa kali seminggu. Kelewatan mendapatkan rawatan boleh menyebabkan kesakitan kronik, penyusutan otot dan kehilangan fungsi tangan secara kekal.”

“Dapatkan bantuan perubatan lebih awal, sebelum kerosakan menjadi sukar untuk dipulihkan,” nasihat Dr Parminder.

 

*Originally published in The Star

Kembali